Monday, March 29, 2010

BERZIKIR




Dalam surah Al-Mulk ayat 13, Allah berfirman yang bermaksud, “ Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada”. Jadi, boleh sahaja berzikir dengan bersuara atau dalam hati. Untuk menambahkan kekhusyukan, bolehlah dilakukan dengan memejamkan mata untuk melihat keagungan Allah SWT melalui ciptaanNya.

Inti daripada zikir adalah menyebut nama Allah. Namun, berdasarkan tuntutan Rasulullah SAW, berzikir bukan sahaja dengan ungkapan Allah tetapi boleh juga berupa kalimat-kalimat lain yang berbentuk penyucian, pujian, pengagungan dan lain-lain seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar.

Zikir boleh dilakukan di mana-mana pun, bila-bila masa dan dalam keadaan apa sekalipun. Memang terdapat zikir yang dituntut oleh Rasulullah SAW setiap selesai solat fardhu dan itu sangat utama untuk dikerjakan. Menghadap kiblat adalah arah yang terbaik walaupun menghadap mana saja, di situlah wajah Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “ Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah, sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya ), lagi sentiasa Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah,ayat 115).

Bilangan zikir tidak terbatas, yang Allah perintahkan adalah zikirlah sebanyak-banyaknya. Allah berfirman, “ Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahzab,ayat 42)

Zikir secara sendirian adalah kewajipan bagi hamba Allah yang beriman. Adapun zikir secara berjemaah adalah sunnah Rasulullah SAW. Kedua-duanya memiliki faedah dan keutamaan yang besar.

0 comments:

Post a Comment



Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template