Thursday, November 26, 2009

eid adha


Maha Suci Tuhan, menciptakan dua susuk tubuh yang amat akur pada perintah seorang Pencipta. Betapa sukarnya Nabi Ibrahim untuk bertemu semula dengan anaknya yang ditinggalkan sejak dari kecil,dan setelah bertemu diminta pula untuk dikorbankan. Namun,cinta Allah lebih agung dari segalanya,disuarakan jua riwayat mimpi kepada si anak kecil yang masih belum kenal pada dunia, tetapi telah mengenal erti cinta. Cinta seorang hamba kepada Tuannya.

Dua susuk tubuh ini sama-sama IKHLAS berKORBAN demi CINTA kepada Allah swt.Betapa lemahnya langkah Nabi Ibrahim ketika itu kerana tahu nasib yang akan menimpa Nabi Ismail,anak kesayangannya. Dan Allah swt tidak pernah lekang walau sesaat menghitung rintih hiba hambaNya ini,apatah lagi untuk menzalimi hambanya yang beriman yang akhirnya DIA mengurniakan rahmatNya:

'Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: ' (As-Saaffat:107-108)

Sahabat,
ini merupakan kekasih Allah yang diuji sebegini rupa, bagaimana pula dengan diri kita?
Cubaan dan dugaan yang dihadapi setiap hari kehidupan tidak ternilai berbanding mereka.
Namun masih kita mudah berkeluh kesah dan lupa akan nikmat pemberianNya.
Layakkah kita ke syurga berbekalkan mahar yang dibawa?


Cinta Nabi Ibrahim kepada Sang Pencipta mengorbankan si anak yang sangat dikasihinya,
Cinta Nabi Ismail menundukkan jiwa seorang bapa untuk redha pada ketentuan dariNya,
Bagaimana pula dengan cinta kita?
Mampukah kita mengorbankan segala harta dan masa
Apatah lagi jika yang menjadi taruhan adalah nyawa
Sungguh, kita umat akhir zaman yang lalai dengan dunia
Sehingga lupa kepada cinta kepada Pencipta
Masa dibazirkan dengan berhibur dan duduk bersahaja
Harta menjadi aset untuk berlumba siapa yang lagi kaya
Bila ditanya bila nak bertaubat,jawabnya bersahaja
Tunggu nanti bila meningkat tua
Sia-sia lah separuh usia amanah dari Yang Esa.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah, telah cukupkah pengorbanan kita kepada agama ini sepertimana pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kerana sejarah telah membuktikan, tiada cinta tanpa pengorbanan!

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template